BERLENGAH UNTUK MENCAPAI KESEMPURNAAN

Home » Nota Editor » BERLENGAH UNTUK MENCAPAI KESEMPURNAAN

Dia menginginkan kesempurnaan dalam segala hal yang dilakukannya. Pernah dia terlepas bas gara-gara menyalin baju sebanyak tiga kali kerana berasa kurang sesuai. Apabila mengenakan baju ini, tudung tidak sesuai. Apabila mengenakan baju itu, terfikir akan kasutnya tidak ada yang kena. Belum lagi bercerita tentang cara mengikat tali kasut. Pernah dilakukan ikatan itu berulang kali kerana dirasakan kurang cantik dan tidak sama saiznya. Lebih teruk lagi apabila tiba di kelas, dia sibuk mencantikkan nota sehingga bertukar pensyarah sekalipun dia masih mencantikkan nota yang sama.

Setiap orang mempunyai masa yang sama. Pengurusan masa akan memberi kita perancangan dalam pekerjaan dan menentukan perkara yang sepatutnya dilakukan terlebih dahulu.

Kita mempunyai peluang untuk berubah kerana kita tahu bahawa masa sangat berharga. Pilihan terletak pada kita untuk menggunakan masa yang ada dengan berkualiti. Kaedah mewujudkan senarai tugas yang perlu diselesaikan, akan membantu kita menyelesaikan pekerjaan dengan teratur dan baik walaupun dengan timbunan tugasan yang lain. Sebaliknya kita akan tersasar daripada matlamat yang ditetapkan apabila melakukan kerja yang sama berulang kali dan mengambil masa yang lama.

Tidak rugi sekiranya kita belajar untuk mengurus masa walaupun pada permulaannya memang agak sukar mengikut jadual yang dibuat dan mengikut had masa untuk sesuatu kerja. Lama-kelamaan kita akan terbiasa dengan rutin tersebut.

Kita akan mendapati bahawa melebihkan masa untuk memastikan kesempurnaan yang keterlaluan amat merugikan kerana hasilnya kita akan mendapat keputusan yang sama. Memadai dengan memastikan kerja tersebut berjalan dengan betul dan lancar. Tidak perlu membazir masa melakukan kerja yang sama berluang kali.

Dengan mengamalkan pengurusan masa, kita mengatur kehidupan peribadi. Berlengah melakukan sesuatu untuk mencapai kesempurnaan dan dilakukan secara berulang kali akan mempengaruhi kehidupan harian dan keluarga. Bersempena dengan bulan Mei ini juga, marilah sama-sama kita memejamkan mata mengenang jasa guru yang sentiasa berdiri di samping kita, bermula dari hari pertama kita melangkah masuk ke pintu tadika hinggalah saat kita melangkah keluar dari pintu gerbang institut pengajian tinggi.

Mereka aset penting yang menjadi pencetus, penggerak, dan pemegang amanah kepada proses transformasi sistem pendidikan negara. Mereka juga mempunyai kedudukan tersendiri, disegani, dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Guru merupakan nadi penggerak dan pemangkin pembangunan sumber manusia dan seterusnya memacu hala tuju negara ke arah melahirkan dan mencorakkan generasi dengan kekentalan nilai moral, sahsiah dan etika yang tinggi.

Setiap murid pula di mata dan hati seseorang guru, ialah permata yang mempunyai keunikan, keistimewaan dan kebolehan tersendiri. Mereka sentosa percaya bahawa setiap permata itu jika diasuh, digilap, dan dikembangkan potensinya, nescaya mereka dapat menjadi individu dan warganegara yang berdaya saing, berfikiran kreatif dan kritis, dan berbudi pekerti mulia.

Selamat Hari Guru buat semua pendidik anak bangsa.

Haziah Che Husin

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran Mei 2015.

Hantar Maklum Balas