MISTERI LUKA BERCAHAYA

Home » Saintifik » Misteri Dalam Sains » MISTERI LUKA BERCAHAYA

Oleh Azida Ishak

TAHUKAH anda, Perang Saudara Shiloh pada tahun 1862 di Amerika telah mengakibatkan kematian anggota tentera seramai 16 ribu orang, manakala lebih 3000 orang lagi mengalami kecederaan? Yang menariknya, kebanyakan tentera yang tercedera daripada peperangan itu dilaporkan telah mengalami satu kejadian misteri. Mereka mendapati luka pada tubuh mengeluarkan cahaya berwarna biru cair ketika dalam keadaan gelap. Diberitakan bahawa sesiapa yang mempunyai keajaiban cahaya itu, lukanya akan sembuh lebih cepat berbanding mereka yang tidak memilikinya. Oleh sebab kagum dengan peristiwa ajaib ini, legenda menggelar cahaya itu sebagai “Cahaya Malaikat”.

Hampir 140 tahun selepas peperangan, seorang remaja berusia 17 tahun berusaha mencari jawapan tentang kewujudan cahaya misteri pada luka para tentera itu. Sekitar tahun 2001, Bill Martin yang melawat tapak perang Shiloh berasa teruja selepas mendengar kisah para tentera yang berjaya sembuh daripada kecederaan, kononnya selepas melihat cahaya biru pada kawasan tubuh mereka yang terluka. Bill bertanya kepada ibunya Phyllis Martin, seorang ahli mikrobiologi tentang kemungkinan perkaitannya dengan sejenis bakteria pendar kilau yang hidup di dalam tanah.

Atas dorongan ibunya, Martin dan rakannya Jon Curtis mula mengkaji tentang bakteria Photorhabdus luminescens (P. luminescens) yang boleh bercahaya di dalam gelap. Bakteria ini hidup di dalam perut sejenis cacing parasit jenis nematoda seperti Heterorhabditis nematoda. Cacing nematoda selalunya akan masuk ke dalam larva serangga yang terdapat di dalam tanah atau pada permukaan tumbuhan, sebelum memulakan kehidupan di saluran darah perumahnya. Di situ, cacing ini akan memuntahkan bakteria P. luminescens keluar dari perutnya, dan bakteria itu mula menghasilkan sejenis bahan kimia toksin untuk mematikan serangga perumahnya.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

Hantar Maklum Balas