ELAKKAN TEKANAN EMOSI DISEBABKAN PEPERIKSAAN

Home » Nota Editor » ELAKKAN TEKANAN EMOSI DISEBABKAN PEPERIKSAAN

Oleh  Haziah Che Husin

MENJELANG peperiksaan, bermacam-macam perasaan akan bermain di benak anda. Ada masanya timbul perasaan berdebar-debar. Kadang-kadang timbul juga perasaan gembira kerana penantian yang ditunggu-tunggu selama ini akan berakhir.

Melihat kepada kerenah peperiksaan, ada pelajar yang terlalu berdebar hingga langsung tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran. Logik akalnya, apabila menjelang peperiksaan, mereka sepatutnya berusaha lebih kuat, tetapi sebaliknya, mereka menjadi semakin malas, lebih suka tidur dan mengelak daripada melihat buku pelajaran mereka. Hal ini merupakan salah satu tanda pelajar menghadapi tekanan emosi disebabkan peperiksaan yang bakal menjelang.

Tekanan emosi terhadap peperiksaan boleh berlaku sejak bermulanya persiapan pelajar, iaitu pada awal tahun sehingga selepas menerima keputusan peperiksaan. Namun begitu, cabaran emosi sedemikian semakin memuncak ketika tarikh peperiksaan atau tarikh pengumuman keputusan semakin hampir.

Tekanan emosi merupakan pengalaman atau kejadian yang dialami seseorang individu hingga menyebabkan gangguan terhadap pemikiran, perasaan dan aktiviti harian. Oleh itu, hal ini perlu ditangani dengan segera supaya tidak menjadi lebih serius dan mengganggu kesihatan remaja. Kita tidak mahu kelak peristiwa pelajar membunuh diri akibat tekanan emosi berkaitan peperiksaan berulang lagi. Anda perlu mengawal emosi agar sentiasa berada dalam kerangka kewarasan akal fikiran.

Oleh itu, untuk anda yang bakal menduduki peperiksaan besar, anda perlu belajar mengawal perasaan dengan cara memahami sebab utama mengapa timbulnya perasaan tertekan tersebut. Anda  juga perlu mengambil tahu sebab anda berasa terlalu berdebar dan resah menjelang peperiksaan. Anda juga perlu sedar bahawa tekanan perasaan anda itu sebenarnya disebabkan oleh perkara yang anda selalu fikirkan. Anda perlu mengawal perkara yang anda fikirkan dan mengekalkan imej kejayaan dalam minda anda. Anda perlu belajar bertenang, bersemangat dan yakin bahawa anda akan berjaya. Hasilnya, anda akan dapat rasakan sendiri bahawa anda boleh memilih untuk berasa tenang dan selesa sementara menunggu ketibaan hari peperiksaan.

Perspektif masyarakat hari ini cenderung melihat pencapaian anak dalam peperiksaaan sebagai pengukur kejayaan. Pelajar yang berjaya mendapat banyak A bakal berasakan harga diri meningkat serta mendapat pengiktirafan daripada keluarga dan masyarakat. Bagi yang kurang cemerlang pula, mereka mungkin berasa rendah diri atau disisihkan. Akibatnya, mereka mungkin mengalami tekanan emosi yang amat kuat. Sekiranya tekanan perasaan tersebut tidak dapat dikawal lagi, maka mereka mungkin mengambil tindakan di luar kawalan sebagai cara untuk melepaskan tekanan.

Walau apa pun ganjaran berbentuk kebendaan seperti gred A yang anda inginkan hasil kejayaan anda cemerlang dalam peperiksaan, anda perlu ingat bahawa ganjaran tersebut hanyalah merupakan alat untuk menambah motivasi anda untuk terus berusaha.

Peperiksaan memerlukan persediaan lebih daripada sekadar membaca semata-mata. Tanpa persediaan yang rapi, anda tidak akan mendapat keputusan yang setimpal dengan usaha yang dilakukan. Oleh itu, lebih baik anda memfokuskan persediaan diri untuk berjuang. Persediaan yang rapi memupuk keyakinan yang tinggi untuk anda menghadapi peperiksaan. Menguruskan tekanan emosi dengan baik membolehkan anda menghadapi peperiksaan dengan lancar dan cemerlang.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

Hantar Maklum Balas