ANGKA DUA

Home » Akademik » Cintai Bahasa Kita » ANGKA DUA

Oleh Munsyi Dewan

DALAM sistem ejaan Rumi sebelum 1972, terdapat penggunaan lambang yang bukan berupa huruf daripada sistem abjad. Lambang tersebut ialah angka dua (2) sebagai tanda ganda.

Dalam sistem ejaan Rumi lama itu, angka dua (2) digunakan bagi penulisan kata ulang (kata ganda) semu dan kata ulang jamak, manakala tanda sempang (-) pula digunakan bagi penulisan jenis kata ulang yang lain. Dalam Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu yang mula dikuatkuasakan penggunaannya pada tahun 1972, penggunaan angka dua dimansuhkan. Semua kata ulang semu dan kata ulang jamak menggunakan tanda sempang sepenuhnya.

Walaupun cara penulisan ini dilihat tidak ekonomis, itulah ketetapan yang dibuat demi kesempurnaan dan keselarasan ejaan bahasa Melayu. Misalnya, sebelum penguatkuasaan pemansuhan angka dua dalam ejaan, angka dua digunakan dalam penulisan kata ulang jamak daripada kata dasar seperti daun2, pulau2, rakit2; kata ulang jamak daripada kata terbitan seperti bantuan2, jawatan2, petugas2; dan kata ulang daripada kata ganda semu seperti anai2, kupu2, rama2 dan kanak2.

Kini, semua ejaan kata tersebut itu dieja (ditulis) sepenuhnya dengan menggunakan tanda sempang (-). Perkataan daun2 menjadi daun-daun, pulau2 menjadi pulau-pulau, dan rakit2 menjadi rakit-rakit. Kata ulang jamak daripada kata terbitan seperti bantuan2 ditulis sepenuhnya menjadi bantuan-bantuan, jawatan2 menjadi jawatan-jawatan dan petugas2 menjadi petugas-petugas. Demikian jua halnya dengan kata ganda semu anai2, kupu2, rama2, dan kanak2 berubah ejaannya menjadi anai-anai, kupu-kupu, rama-rama dan kanak-kanak.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

Hantar Maklum Balas