SUMBER DAN SEJARAH LISAN DALAM PENYELIDIKAN SEJARAH

Home » Jati Diri » Arkib Negara » SUMBER DAN SEJARAH LISAN DALAM PENYELIDIKAN SEJARAH

Oleh Wan Mohd Rahimi Rahim

SUMBER ialah sesuatu bahan yang dirujuk oleh sejarawan bagi menghasilkan penulisan yang objektif dan berkualiti. Dokumen atau rekod rasmi merupakan salah satu daripada sumber yang digunakan untuk melakukan penyelidikan ke atas setiap fakta. Oxford English Dictionary mendefinisikan sumber sebagai sebuah karya atau bahan lain yang bersifat memberikan maklumat atau bahan bukti berkaitan dengan fakta kejadian serta peristiwa yang berlaku. Sejarah lisan merupakan antara salah satu cabang sumber yang digunakan oleh sejarawan untuk melakukan sesuatu penyelidikan. Sumber atau sejarah lisan ini sangat penting dalam penulisan walaupun ada segelintir sejarawan menolak pendekatan melalui penggunaan sejarah lisan.

Sejarah lisan atau “Oral History” merupakan sumber tambahan bagi penyelidikan sejarah dan dapat diperhatikan melalui penyelidikan sejarah negara ini yang merupakan salah satu bentuk penerangan yang disampaikan dalam bentuk lisan mengenai sesuatu peristiwa sejarah yang telah berlaku. Sumber ini didapati melalui wawancara sama ada dengan pelakunya, seorang saksi mata, seorang pendengar, seorang pemegang tradisi atau seorang yang mengetahui tentang sesuatu peristiwa berkenaan. Sesuatu keterangan yang disampaikan melalui kaedah lisan akan mengalami tahap tertentu dalam perkembangan penuturannya. Tahap pertama, fakta atau peristiwa diceritakan oleh keterangan proto, keterangan saksi mata dan juga keterangan perseorangan. Fakta atau peristiwa ini boleh diperoleh dengan mewawancara subjek dan juga melakukan rakaman. Selepas itu, setiap fakta ini akan disebarkan atau dituturkan yang merujuk keterangan kata dengar. Contohnya video kekejaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu yang catatan bertulis mengenai pentadbiran Jepun di Tanah Melayu adalah kurang kerana ketika Jepun menyerah kalah di Tanah Melayu mereka telah membakar dan membawa pulang ke negara asal kesemua dokumen bertulis.

(Rencana dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

Hantar Maklum Balas