WAKAF ISTIQAMAH

Home » Nukilan Kreatif » Cerpen untuk Siswa » WAKAF ISTIQAMAH

Oleh Husna Nazri

WAKAF kayu itu sudah sekian lama tersergam di situ. Di kawasan pencil yang memisahkan antara sebuah tanah perkuburan dengan jalan raya utama yang menghubungkan kampung pendalaman ini dengan pekan terdekat. Ciri-ciri binaannya yang berbentuk tradisional pada kelarai dinding serta sutuh perabung menunjukkan wakaf ini sudah sekian lama wujud di sini. Barangkali sudah menjangkau puluhan atau ratusan tahun lamanya. Panggilan “wakaf” pada binaan klasik ini memberikan konotasi makna yang cukup tersirat kepada kariah penduduk yang memberikan pengertian bahawa di situlah tempat berhenti atau ruang merehatkan diri selepas seharian berpenat lelah menjalankan urusan kehidupan.

Menurut nenek moyang kami, sejarah pernah menceritakan bahawa di sekitar wakaf inilah tempat para pejuang Melayu zaman silam berkumpul bagi mengatur strategi menentang musuh kolonial yang pernah menjajah tanah air ini. Di sinilah juga diceritakan orang tentang kebangkitan semangat peribumi penduduk unuk bersatu melawan penjajah yang ingin menguasai kawasan di sebelah timur negeri.

Apabila tanah perkuburan mulai wujud di sebelah wakaf ini pada tahun-tahun terakhir ini, orang kampung menjadikan binaan ini sebagai tempat rehat selepas upacara pengebumian waris yang meninggal dunia.

Kewujudan replika untuk rehat itu seumpama penghubung kepada dua nilai antara dunia zahir dengan alam batin, iaitu antara ruang maujud di bumi nyata dengan sisi rohani yang ghaib dan tersembunyi. Beristirahat di pangkin kayu hadapan wakaf purba itu seperti berada di antara dua persimpangan, iaitu duniawi dan ukhrawi. Pangkin itu bagaikan sebuah jeti di birai kuala yang  menanti sesiapa segara yang tidak terjangkau oleh pandangan mata jasmani.

Sesetengah penduduk menggelari wakaf kayu ini dengan panggilan “wakaf istiqamah” atau “wakf iktikaf”, manakala kalangan anak muda pula mudah meluncurkan lidah dengan menggelarnya “wakaf musafir”. Wakaf berbentuk lama itu bukan sekadar tempat persinggahan kariah penduduk berhimpun tatkala majlis kematian berlangsung di tanah perkuburan tetapi fungsinya lebih dariapda itu. Di bahagian dalam wakaf itu, buku agama dan fiksyen tersusun di atas dua rak almari, manakala di sebelah tepinya pula sebuah telaga lama masih berfungsi menyantuni penduduk yang ingin menikmati dingin air perigi yang jernih berkaca, yang disalurkan melalui mata air di bawah dasar tanah paling bawah. Paling menakjubkan, di tengah-tengah wakaf tertegak tiang kayu utuh yang diukir dengan kalimah ayat suci al-Quran yang tersusun agam. Ada yang menggelar tiang ini dengan panggilan rukun keimanan atau pancang syahadah kerana tertera jelas ukiran kalimah tauhid  yang mengagungkan Allah dan Rasulullah.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

 

 

Hantar Maklum Balas