MALAYSIA TUMPUAN PELANCONG

Home » Akademik » Cetusan Pendapat » MALAYSIA TUMPUAN PELANCONG

Oleh Sofea Suhaimi, SMK Bandar T6, Kuala Lumpur.

MALAYSIA kaya dengan pelbagai keunikan. Keunikan ini dilihat mampu menarik pelancong luar untuk bertandang ke negara kita. Oleh itu, kita perlu berusaha untuk mengekalkan keunikan Malaysia di mata dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana sektor pelancongan merupakan sumber utama yang boleh menambah pendapatan negara.

Faktor utama yang mendorong kemasukan pelancong luar ke negara kita ialah kemudahan pengangkutan yang tersedia. Antara kemudahan pengangkutan yang terdapat di negara kita termasuklah teksi, bas, kereta api, LRT, beca dan kereta kuda. Bagi sesetengah negara luar yang berkembang pesat, negara mereka sudah tidak lagi mempunyai kenderaan tradisional seperti beca dan kereta kuda. Oleh itu, tidak hairanlah banyak pelancong berlumba-lumba untuk melawat Malaysia kerana mahu merasakan sendiri pengalaman menaiki kereta kuda.

Bentuk muka bumi yang sesuai untuk aktiviti pelancongan juga merupakan faktor yang mampu menarik pelancong untuk melawat negara kita. Malaysia mempunyai pelbagai jenis bentuk muka bumi yang menarik termasuklah tanah tinggi, tanah pamah, pinggiran pantai dan dataran. Kawasan tanah tinggi berpotensi dijadikan sebagai kawasan penanaman tumbuhan berhawa sejuk termasuklah yang dilakukan di Cameron Highlands, Pahang. Selain itu, terdapat juga kawasan yang dijadikan sebagai pusat peranginan dan hiburan seperti di Bukit Fraser dan Genting Highlands. Kawasan tanah pamah pula sesuai didirikan taman tema yang menjadi tarikan pelancong termasuklah Taman Tema Legoland yang telah menarik minat pelancong luar terutama dari Singapura.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

Hantar Maklum Balas