MODAL INSAN BERTARAF DUNIA

Home » Akademik » Cetusan Pendapat » MODAL INSAN BERTARAF DUNIA

Oleh Lai Cu Yen

PEMUDA harapan bangsa, pemudi tiang negara, inilah ungkapan yang sering terngiang-ngiang di corong radio dan telinga kita. Memang tidak dapat dinafikan bahawa remaja merupakan generasi wawasan yang akan menerajui pucuk pimpinan negara dan membantu tanah air mengharungi segala pancaroba untuk membentuk masyarakat yang berilmu dan bertamadun tinggi serta merealisasikan Wawasan 2020.

Modal insan yang berkualiti mestilah mempunyai pengetahuan yang tinggi dan luas. Sebagaimana yang kita sedia maklum, kerajaan sering menegaskan kepentingan amalan membaca dan menuntut ilmu. Jadi, tidak hairanlah slogan seperti “membaca jambatan ilmu” dan “ilmu pelita hati” sering berkumandnag di corong radio dan terpapar pada media cetak.

Modal insan yang berkualiti mestilah menepati ciri individu yang berpengetahuan luas. Hal ini telah menjelaskan bahawa pengetahuan yang tinggi telah menjadi identiti yang kukuh kepada modal insan yang bertaraf dunia. Ilmu diibaratkan pelita hidup yang mampu membantu kita bersaing dalam pasaran global. Ilmu juga mendorong kita menuju ke arah kemajuan.

Modal insan bertaraf dunia juga sewajarnya memiliki keperibadian yang mulia. Remaja perlu mengamalkan nilai murni, berbudi bahasa, berintegriti, beretika, dan beriltizam tinggi. Remaja yang mempunyai modal insan yang tinggi juga akan menepati masa, mematuhi peraturan, bersifat sabar, selalu menjaga kesihatan mental dan fizikal dan aspek lain.

Modal insan yang berkualiti tinggi juga memiliki ketahanan fizikal dan mental. Ketahanan fizikal dan mental merupakan asas untuk memiliki badan yang sihat dan kuat serta fikiran yang sihat dan positif. Sebagai contoh, modal insan yang sihat mampu menyelesaikan masalah dengan pantas dan cekap kerana mempunyai minda yang berwaspada.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

 

Hantar Maklum Balas