KEPENTINGAN PERSONALITI UNTUK BERJAYA

Home » Khas » Isu Semasa » KEPENTINGAN PERSONALITI UNTUK BERJAYA

Oleh Siti Suriani Othman

SERING kita dengar kisah pelajar yang cemerlang tetapi kecundang ketika di pengajian tinggi. Keadaan sebaliknya juga ada berlaku, apabila pelajar yang “biasa-biasa” sahaja ketika di sekolah, begitu menyinar di universiti. Menurut pakar psikologi, fenomena ini boleh dikaitkan dengan apa-apa yang dipanggil sebagai “personaliti” seseorang pelajar. Personaliti merupakan cabang disiplin dalam bidang psikologi yang mengkaji pemikiran, fikiran, sikap, matlamat dan minat seseorang individu normal.

Umumnya, berdasarkan teori personaliti, terdapat dua jenis personaliti yang boleh menjelaskan perihal sikap seseorang individu atau pelajar iaitu Personaliti Jenis A atau Personaliti Jenis B. Kedua-dua jenis personaliti ini bertentangan sifatnya antara satu dengan lain.

Teori ini adalah berdasarkan Dr. Meyer Friedman dan Dr. Ray Rosenman yang menyediakan soalan pelbagai pilihan kepada responden untuk mengenal pasti personaliti individu. Dalam kajian selama lapan tahun setengah ini, mereka yang dikategorikan dalam Personaliti Jenis A dikatakan mempunyai kecenderungan menghadapi penyakit jantung berbanding mereka yang berpersonaliti Jenis B serta berkemungkinan tinggi untuk meninggal dunia kerana masalah jantung.

Hal ini dikatakan demikian kerana, mereka yang berpersonaliti Jenis A dikatakan mempunyai beberapa sifat yang jelas seperti bercita-cita tinggi, tersusun, menginginkan status yang tinggi, sensitif, tidak sabar, melakukan kerja lebih daripada kemampuan, rajin bekerja, proaktif dan mengurus masa dengan baik serta tidak suka bertangguh. Berbanding mereka yang berpersonaliti Jenis B, hidup mereka lebih santai, kurang mengambil risiko dan hidup dengan tahap tekanan yang rendah. Individu jenis ini tidak tertekan jika tidak berjaya mencapai sesuatu, kerana apa-apa yang ingin diperoleh merupakan pengalaman daripada proses yang dilalui. Golongan berpersonaliti Jenis B sangat sesuai dengan pekerjaan seperti penulis, kaunselor, terapi atau pelakon. Mereka suka meneroka idea dan konsep baharu dan selalunya seorang yang reflektif.

Hasil kajian yang diterbitkan Friedman dalam buku Type A Behaviour: Its Diagnosis and Treatment menjelaskan bahawa mereka yang tergolong dalam individu berpersonaliti Jenis A menghadapi tiga simptom utama dalam kesihatan iaitu pertama, mudah marah walaupun hanya dicetuskan oleh insiden yang kecil, kedua, tidak sabar dan rasa tidak cukup masa dan ketiga, mudah berasa tertekan kerana mempunyai rasa persaingan yang tinggi.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

Hantar Maklum Balas