PENDIDIKAN DAHULU DAN SEKARANG

Home » Khas » Isu Semasa » PENDIDIKAN DAHULU DAN SEKARANG

Oleh Rahman Abdullah

MASYARAKAT di Malaysia yang wujud pada hari ini merupakan sebuah masyarakat yang terdiri daripada campuran pelbagai bangsa, agama dan peringkat umur. Namun begitu kesatuan dan toleransi yang kita dukung selama ini semakin goyah akibat daripada beberapa faktor. Salah satu yang dilihat agak ketara ialah perubahan nilai dalam sistem masyarakat kita.

Perubahan dari segi pendidikan anak dari generasi ke generasi menampakkan perubahan kepada nilai yang dipegang oleh masyarakat kita. Sebagai contoh, satu ketika dahulu, pelajar atau remaja sering ditarbiahkan atau ditegur secara tegas di rumah atau di sekolah untuk tujuan mendidik. Walau bagaimanapun, generasi pelajar atau remaja yang seterusnya lebih mudah menerima pendidikan melalui cara yang lebih sopan dan tertib daripada tenaga pengajar. Kini, tenaga pengajar seharusnya lebih bersifat seperti kawan yang bukan sebaya untuk tujuan menyampaikan mesej atau didikan.

Perkara yang sama berlaku kepada tenaga pengajar atau guru sekolah. Pada satu masa, ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah berpegang pada satu keyakinan, guru di sekolah akan mendidik anak mereka menjadi manusia yang berguna. Oleh itu, apa-apa sahaja bentuk didikan yang diberikan oleh para guru diizinkan oleh pihak ibu dan ayah. Keadaan yang amat berbeza dapat dilihat pada hari ini, yakni apa-apa sahaja perkara yang dilakukan oleh pihak guru untuk tujuan mendidik harus mendapat persetujuan pihak berwajib, ibu bapa dan sekolah. Oleh sebab itu, ada kalanya salah faham antara pihak guru dan pelajar boleh disalahtafsirkan oleh ramai pihak.

Perubahan yang kita saksikan kini bukanlah sesuatu yang buruk secara keseluruhan, namun seperti yang kita biasa lihat di laman media sosial, bercetak ataupun televisyen, kebanyakan kes yang diutarakan terutamanya di sekolah berakar umbi daripada nilai yang kita ingin terapkan dalam kalangan pelajar. Sekiranya nilai murni termasuklah saling hormat-menghormati, adab sopan, saling mengingati dan berdisiplin di sekolah masih diberi definisi dan penyampaian dengan cara lama, maka apabila para pelajar ini tamat belajar dan keluar ke institusi pengajian tinggi atau alam pekerjaan, mereka akan mengalami kejutan budaya kerana apa-apa yang dipelajari dan difahami amat berbeza dengan suasana di luar.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

 

Hantar Maklum Balas