FUNGSI TEKANAN PERASAAN

Home » Uncategorized » FUNGSI TEKANAN PERASAAN

Oleh Osman Affan

TEKANAN perasaan atau stres merupakan satu perkara yang sangat umum dan biasa dialami oleh pelajar menjelang peperiksaan. Banyak faktor yang menyebabkan hal ini berlaku. Antara faktor punca tekanan perasaan yang biasa dikenal pasti termasuklah rasa letih akibat terlalu banyak fakta yang perlu dipelajari dan dihafal, harapan guru dan ibu bapa yang menggunung tinggi, dan kegagalan menguasai topik dan kemahiran yang penting.

Tekanan perasaan pula mempunyai kesan yang berbeza bagi pelajar yang berbeza. Maksudnya, ada pelajar yang berasa semakin bersemangat untuk berusaha dengan lebih kuat apabila perasaannya tertekan menjelang peperiksaan. Sebaliknya, ada juga pelajar yang menjadi lemah semangat, berputus asa dan ada juga kes pelajar hilang kewarasan berfikir apabila terlalu kuat dihimpit oleh tekanan perasaan. Persoalannya, adakah tekanan perasaan ini sesuatu yang buruk? Apakah sebenarnya fungsi tekanan perasaan kepada manusia?

Tekanan perasaan selalunya dipandang dari sudut yang negatif. Pelajar memandang tekanan perasaan sebagai sesuatu yang melemahkan mereka dan menghalang kebolehan mereka untuk lebih berjaya dalam bidang pelajaran. Sebenarnya, kebanyakan pelajar tidak sedar, tekanan perasaan boleh dipandang dari sudut yang positif. Bagaimanakah hal ini boleh berlaku?

Tekanan perasaan sebenarnya ialah sejenis isyarat dalam minda anda. Bayangkan isyarat jalan raya yang biasa anda lihat. Katakan anda sedang menunggang motosikal dan sampai di simpang yang ada lampu isyarat. Apabila lampu isyarat menunjukkan warna merah, anda perlu berhenti. Masalahnya, anda mahu cepat dan jika boleh, anda langsung tidak mahu berhenti. Apakah perasaan anda apabila terpaksa berhenti jika lampu isyarat bertukar merah? Adakah timbul sedikit rasa tertekan?

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Oktober 2015)

Hantar Maklum Balas