REMAJA UNGGUL

Home » Nota Editor » REMAJA UNGGUL

“KAMU semua ni, umur sudah 16 tahun tetapi masih tidak matang. Cara berjalan, tiada keyakinan, lenggok tubuh pun tidak tegak, cara bercakap hanya lebih kepada berbual kosong, dan tak nak mengalah. Memek muka kamu, kalau bercakap, mesti muncungkan mulut, mata tidak pandang orang, dan asyik gelak berlebihan.”

Sejujurnya banyak remaja yang tidak tahu akan cara menjadi orang yang matang sehingga diri berasakan kehidupan tidak sama dengan remaja lain. Timbul persoalan, adakah remaja yang matang itu mampu berdikari di mana-mana sahaja serta mempunyai tingkah laku yang sopan?

Prospek negara maju meletakkan Malaysia dalam kancah perkembangan mutakhir global termasuklah dari perspektif geoekonomi, gaya hidup dan budaya, kepimpinan pengurusan yang berubah, pengurusan ilmu biologi, dan konsep langit terbuka yang berkaitan dengan teknologi maklumat yang menjangkau batasan. Dengan kata lain, negara akan menghadapi pembangunan yang pesat dengan penerokaan dalam bidang yang amat mencabar.

Pendekatan pembangunan ekonomi akan beralih daripada tumpuan terhadap pelaburan kepada pemantapan kualiti tenaga kerja dan penggunaan model; peningkatan kapasiti pengeluaran; dan juga sumber tenaga manusia untuk dieksport. Selain itu, perkembangan juga berlaku dalam memperluas jalinan dan pengasingan global di samping meningkatkan persekitaran yang kondusif.

Dalam konteks pembinaan tamadun bangsa, penyediaan golongan remaja berasaskan pembinaan minda dilihat penting bagi meningkatkan penyertaan dan sumbangan mereka kepada pembangunan negara. Walaupun masih belum boleh diukur dengan skala sumbangan remaja kepada negara, didikan untuk menjadi remaja yang matang minda mempersiapkan mereka untuk berada pada barisan pertama negara pada masa akan datang. Oleh itu, penting remaja hari ini dididik dengan minda remaja unggul, iaitu remaja yang bersedia menghadapi apa-apa sahaja bentuk cabaran yang datang.

Remaja unggul ialah remaja yang mempunyai personaliti yang matang. Remaja matang menunjukkan sifat yang konsisten, kekal, tidak berubah-ubah mengikut suasana, sentiasa menunjukkan sikap positif serta mempunyai mental dan emosi yang stabil walau di mana-mana sahaja.

Kematangan terhasil daripada pengalaman hidup yang dilalui. Kematangan remaja dapat ditunjukkan melalui tindakan remaja itu sendiri. Remaja terkenal dengan sifat suka mencuba perkara baharu. Sesuatu yang baharu pula dianggap sebagai mencabar. Jika sesuatu yang baharu itu dapat direalisasikan, hal itu menjadi satu kebanggaan. Remaja biasaya tidak berfikir panjang untuk mencuba sesuatu yang baharu. Mereka tidak menganalisis natijah yang akan berlaku apabila sesuatu perkara itu dilakukan. Tambahan pula banyak remaja hari ini kurang daya tahan, lemah dengan pujukan rakan serta mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya. Oleh itu, remaja perlu berfikiran matang supaya mereka tidak lagi dilabel sebagai golongan “pembuat onar”.

Remaja yang berfikiran matang, jika marah sekalipun, akan berfikir panjang sebelum mengambil tindakan. Mereka perlu menimba pengalaman hidup dengan masyarakat, berfikir tentang masalah dan cara penyelesaiannya, serta bergaul dengan komuniti supaya tidak terbawa-bawa perangai kebudak-budakan. Tidak dinafikan bahawa masih ada orang dewasa yang berperangai kebudak-budakan, tetapi sebagai generasi global, kita perlu bijak menilai dan memilih.

Haziah Che Husin

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2015)

 

Hantar Maklum Balas