BERFIKIRAN POSITIF DAN MATANG

Home » Fokus » BERFIKIRAN POSITIF DAN MATANG

Oleh Nizar Parman

“ANDAI hendak melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pada anak mudanya pada hari ini. “Demikianlah mutiara kata Syeikh Dr. Yusof al Qhardawi yang menunjukkan bahawa generasi muda atau remaja pada hari ini mencerminkan kelangsungan kepimpinan sesebuah negara pada masa akan datang.

Kita dapat membuat kesimpulan remaja pada hari ini amat bertuah kerana mereka dilahirkan dan dibesarkan dalam zaman teknologi maklumat sedang berkembang dengan pesatnya. Mereka telah disediakan dengan pelbagai kemudahan komunikasi sehingga hampir semua bentuk maklumat dapat dicapai dengan hujung jari dalam jangka masa yang singkat. Namun begitu, apakah semua bentuk kemudahan dan teknologi yang tersedia pada hari ini benar-benar dapat melahirkan remaja yang mampu berfikir secara positif dan matang?

Berfikiran positif boleh didefinisikan sebagai suatu cara berfikir atau mempunyai cara berfikir yang pasti, tegas dan tetap. Dalam erti kata lain, remaja yang berfikiran positif ialah remaja yang mempunyai pendirian yang tetap atau konsisten tentang suatu perkara serta tidak mudah goyah. Manakala, remaja yang matang pula boleh ditakrifkan sebagai remaja yang menunjukkan kesempurnaan atau kedewasaan dalam pemikirannya.

Jika kita renungkan, golongan remaja sebenarnya mampu memberikan sumbangan termasuklah dari segi tenaga, kepakaran, buah fikiran dan ilmu pengetahuan untuk negara. Usia remaja merupakan usia yang amat bernilai. Hal ini dikatakan demikian kerana ketika usia inilah remaja akan mula menyerlahkan potensi dirinya yang sebenar. Remaja akan menjadi lebih matang dan berani untuk mencuba sesuatu yang baharu. Namun begitu, dalam konteks ini remaja seharusnya lebih bijak untuk memilih bidang yang betul dan sesuai dengan minat atau potensi dirinya. Jika tersalah pilih haluan, pastinya akan mengundang padah.

Usia muda bukanlah penghalang kepada remaja untuk memberikan sumbangan yang bermakna kepada negara. Beberapa orang remaja negara kita telah membuktikan bahawa mereka mampu meletakkan nama Malaysia di persada dunia meskipun dalam usia yang masih muda. Antaranya termasuklah Zulfahmi Khairuddin dan Hafizh Syahrin yang kini sedang bersaing dalam kejohanan motosikal dunia dan pernah beberapa kali menaiki podium. Begitu juga dengan Datuk Nicol Ann David yang telah menjadi ikon skuasy negara dan antara pemegang rekod pemain skuasy nombor satu dunia paling lama.


(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2015)

Hantar Maklum Balas