BAHAN API TINJA HAIWAN

Home » Saintifik » Misteri Dalam Sains » BAHAN API TINJA HAIWAN

Oleh Nor Azida Ishak

TAHUKAH anda bahawa bahan tinja daripada haiwan boleh menghasilkan haba untuk pemanasan serta menjana tenaga elektrik? Teknologi ini dikenali sebagai proses penghasilan biogas. Biogas merupakan produk sampingan yang terhasil selepas berlakunya proses pereputan bahan organik oleh bakteria anaerobik. Biogas ialah tenaga boleh baharu yang bersih dan boleh digunakan untuk memasak, menghasilkan wap atau air panas, serta menjana tenaga elektrik. Bahan biojisim merupakan sumber boleh baharu kerana hanya mengambil masa beberapa bulan sahaja untuk menjadi bahan api, berbanding dengan bahan api fosil yang memerlukan masa berjuta-juta tahun.

Bahan api tinja merupakan satu bentuk biojisim dalam kategori materi hidup atau pernah hidup daripada tumbuhan atau haiwan yang boleh menjadi sumber tenaga. Materi yang mereput akan menghasilkan sekitar 60 peratus gas metana dan 40 peratus gas karbon dioksida. Contoh tenaga biojisim yang paling biasa ialah pembakaran kayu api, untuk tujuan memanaskan badan atau memasak makanan.

Dahulukala, bahan tinja haiwan akan dibiarkan menjadi kompos, iaitu bahan organik yang diperam dan dibiarkan mereput untuk dijual sebagai baja. Pada kebiasaannya,  para penternak akan menyalurkan semua bahan tinja haiwan ke sebuah kawasan berair yang dibina khas. Mereka juga kerap mengutip dan menabur bahan tinja haiwan tersebut di ladang tanaman. Tetapi proses pereputan bahan tinja secara semula jadi ini akan memberi impak kepada suhu bumi, kerana bahan ini menghasilkan gas metana yang 21 kali ganda lebih kuat berbanding gas karbon dioksida. Hal ini turut menyebabkan gangguan dari segi bau serta menyebabkan kekotoran kepada saliran air. Bahan buangan haiwan yang dibiarkan mereput secara terbuka menyebabkan pencemaran udara. Antara gas pencemar yang terhasil termasuklah metana, nitrus oksida, ammonia, hidrogen sulfida, serta molekul mudah meruap yang boleh menyebabkan masalah bakteria dan isu kesihatan.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2015)

Hantar Maklum Balas