MEMPERINGATI 100 TAHUN PERJUANGAN TOK JANGGUT

Home » Jati Diri » Arkib Negara » MEMPERINGATI 100 TAHUN PERJUANGAN TOK JANGGUT

Oleh Wan Mohd Rahimi Rahim, Arkib Negara Malaysia

TOK JANGGUT atau nama sebenarnya Haji Mat Hassan bin Panglima Munas dilahirkan di Kampung Saring Daerah Jeram pada tahun 1850. Beliau dibesarkan di Istana Tengku Seri Maharaja Jeram kerana pada ketika itu ayahnya berkhidmat untuk istana tersebut sebagai seorang panglima. Beliau mendapat pendidikan tertinggi di Mekah. Tok Janggut merupakan tokoh nasionalisme Melayu yang telah menggerakkan gerakan protes dan penentangan di Kelantan.

Perjuangan beliau sebenarnya mendukung idealisme tertentu dan berjaya meyakinkan rakyat Kelanatan pada ketika itu untuk bangkit menentang ketidakadilan yang berlaku di Pasir Puteh, Kelantan.

Kebangkitan anti-British di Kelantan merupakan salah satu siri peristiwa perjuangan orang Melayu dalam menentang penjajah di negara ini. Kebangkitan ini merupakan reaksi awal orang Melayu apabila terpaksa berhadapan dengan kehadiran penjajah British di Kelantan.

Kemasukan British ke Kelantan bermula apabila Perjanjian Bangkok dimeterai pada 10 Mac 1909 antara British dengan Siam yang bersetuju untuk membahagikan negeri Melayu di Utara dan Timur. Dalam perjanjian tersebut, British telah mengambil alih negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis, manakala Siam pula berkuasa terhadap Patani, Menara, Jalor dan Setol. Tindakan yang diambil oleh British dalam merencana Perjanjian Bangkok ini dilihat telah membelakangi golongan istana. Hal ini dikatakan demikian kerana British tidak terlebih dahulu mendapat persetujuan golongan istana. Tindakan ini meresahkan Long Senik sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Kelantan tahun 1910, Sir John Anderson telah datang ke Kelantan dengan membawa kapal perang bagi memberikan tekanan terhadap Long Senik untuk mengakui hak naungan British di Kelantan.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2015)

 

Hantar Maklum Balas