PERTANIAN BANDAR

Home » Khas » Isu Semasa » PERTANIAN BANDAR

Oleh Md Ishak A. Rahman

BERCUCUK tanam di sekeliling rumah sudah lama diamalkan oleh masyarakat, terutama di desa dan di kampung. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka memiliki kawasan tanah rumah yang luas untuk melakukan aktiviti tersebut. Keadaan ini berbeza dengan penduduk di bandar yang mempunyai kawasan tanah yang terhad. Oleh itu, pihak Jabatan Pertanian dan MARDI mengambil inisiatif dan inovasi memperkenalkan kaedah pertanian moden untuk penduduk bandar melakukan aktiviti pertanian bandar.

Pertanian bandar yang dianjurkan oleh MARDI merupakan aktiviti menghasilkan, memproses dan memasarkan makanan dan produk pertanian dalam kawasan bandar dan pinggir bandar menggunakan kaedah pengeluaran intensif, menggunakan semula sumber asli dan sisa buangan bandar untuk menghasilkan kepelbagaian tanaman dan ternakan. Aktiviti ini selaras dengan program Bumi Hijau anjuran Jabatan Pertanian yang menggalakkan orang ramai untuk bercucuk tanam di kawasan terhad bagi mengurangkan kos perbelanjaan pasar dan sumber makanan segar kepada orang ramai.

Pertanian bandar bukanlah sesuatu yang baharu di negara maju. Model pembangunan Machu Picchu di Peru sekitar tahun 1450, direka untuk mewujudkan ladang bandar yang produktif dengan menempatkan pertanian dalam bandar dan sekitar bandar. Amerika Syarikat juga telah mengiktiraf nilai pertanian sebagai guna tanah yang diluluskan di kawasan bandar.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2015)

 

Hantar Maklum Balas