RISIKO KONGSI MAKLUMAT DI MEDIA SOSIAL

Home » Khas » Isu Semasa » RISIKO KONGSI MAKLUMAT DI MEDIA SOSIAL

Oleh Noor Azam Abdul Rahman

“SAJA suka-suka. Seronok tengok gambar sendiri di media. Rasa seperti dihargai apabila banyak klik butang suka pada status saya. “Berikut adalah antara komen yang biasa diberi oleh penggemar media sosial apabila ditanya tentang kecenderungan mereka berkongsi maklumat di media sosial. Keseronokan melihat bilangan butang suka dan komen positif yang banyak dan bertambah setiap saat menjadi motivasi kepada mereka untuk terus berkongsi maklumat harian mereka di media sosial termasuklah facebook, twitter, dan Instagram.

Berkongsi maklumat pada status di media sosial merupakan sesuatu yang biasa jika maklumat yang dikongsi adalah perkara yang bersifat umum dan bermanfaat kepada pembaca. Namun begitu, jika maklumat yang dikongsi adalah berkaitan aktiviti harian peribadi dan dikemas kini secara terperinci dapat mengundang masalah terutama berkaitan keselamatan. Kecenderungan remaja kini mendedahkan aktiviti harian mereka yang bersifat peribadi di media sosial boleh memberi kesan yang negatif dan kurang baik kepada diri mereka sendiri.

Media sosial merupakan medium utama dan popular masa kini yang menjadi tempat orang ramai termasuk remaja meluahkan perasaan, berkongsi maklumat peribadi, dan memuat naik gambar peribadi. Malah terdapat juga remaja yang menjadikan media sosial sebagai catatan peribadi yang dikongsi secara terbuka yang berkonsepkan penulisan diari harian diri mereka. Media sosial yang dapat diakses melalui talian internet dengan hanya menggunakan telefon pintar telah memudahkan remaja mengemaskinikan maklumat mereka.

Pendedahan aktiviti harian secara melampau di media sosial akan memudaratkan pengguna. Pendedahan secara melampau bermaksud, semua aktiviti yang dilakukan seharian dimaklumkan secara terperinci termasuklah menyatakan secara jelas benda berharga yang dimiliki seperti jam tangan mewah, barang kemas, duit, dan alatan berharga. Situasi ini mampu menarik perhatian orang ramai untuk memanipulasikan maklumat tersebut dengan niat yang tidak baik. Pendedahan alamat rumah yang lengkap, gambar setiap bahagian rumah secara terperinci, makluman tentang ketiadaan di rumah kerana keluar berjalan-jalan atau melancong juga dapat mengundang bahaya kepada harta benda kita.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2015)

 

Hantar Maklum Balas